Select your language

Jabatan Hal Ehwal Pelajar

PENGENALAN
Jabatan Hal Ehwal Pelajar berfungsi untuk menguruskan pengambilan & pendaftaran pelajar baharu, menyimpan data & rekod pelajar, menguruskan kebajikan serta disiplin pelajar. Jabatan Hal Ehwal Pelajar terdiri daripada 10 orang staf. Fungsi dan peranan Jabatan Hal Ehwal Pelajar adalah seperti berikut :

  

Pengurusan Pengambilan & Pendaftaran Pelajar, Menyimpan Data & Rekod Pelajar

1. Mengurus dan merancang pengurusan pengambilan dan pendaftaran pelajar baharu

2. Mengurus dan merancang urusan lapor diri pelajar senior

3. Mengurus urusan pelajar seperti pertukaran politeknik, pertukaran kursus, pertukaran jenis program, penangguhan pengajian dan urusan berhenti pengajian

4. Mengurus statistik penerimaan tawaran, pendaftaran pelajar baharu dan statistik kemasukan

5. Enrolmen dan lulusan (IEO)

6. Mengurus Kad Pelajar

7. Mengurus Fail Peribadi Pelajar

 

Pengurusan Kebajikan Dan Disiplin Pelajar

1. Mengurus perlindungan insuran pelajar, pinjaman PTPTN, biasiswa, tajaan penginapan dan lain-lain kebajikan pelajar

2. Mengurus aktiviti Majlis Perwakilan Pelajar (MPP)

3. Mengurus aktiviti minggu suaikenal (MSK)

4. Mengurus dan merancang pengurusan disiplin pelajar, pengendalian kes tatatertib dan melaksanakan prosiding tatatertib mengikut Akta 174

5. Menguruskan pendaftaran kenderaan pelajar yang meliputi pendaftaran, prosedur pendaftaran kenderaan dan tindakan tatatertib kesalahan lalulintas.

 

 
OBJEKTIF

1. Memastikan maklumat terkini mengenai program boleh diperolehi oleh umum

2. Memastikan proses pengambilan dan pendaftaran pelajar ke politeknik dilaksanakan dengan sempurna

3. Memastikan rekod dan data pelajar adalah tepat serta disenggara dengan sempurna

4. Memastikan statistik pengambilan dan pendaftaran pelajar adalah tepat

Jabatan Sukan, Kurikulum & Kebudayaan

PENGENALAN

Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan (JSKK) secara amnya bertanggungjawab merangka, melaksana, menyelaras, menyelia dan memantau aktiviti sukan, kokurikulum dan kebudayaan yang melibatkan Politeknik Seberang Perai (PSP).

Secara khususnya, JSKK berperanan untuk melengkapkan kecemerlangan akademik pelajar yang seimbang dalam aspek pembangunan sahsiah dan jati diri yang holistik seiring dengan visi dan misi Politeknik Malaysia.

JSKK juga menguruskan keperluan peralatan dan memastikan segala kemudahan serta fasiliti berada di tahap yang baik dalam menyediakan perkhidmatan yang berkualiti.

Selain itu, JSKK diamanahkan untuk mentadbir dan menguruskan segala aktiviti sukan, riadah, kokurikulum dan kebudayaan kepada seluruh warga PSP, sama ada pelajar mahupun kakitangan.

Diterajui oleh seorang Ketua Jabatan iaitu Encik Muhamad Noor Bin Abu Hassan dan dibantu oleh 4 orang pegawai bagi Unit Sukan, Unit Kokurikulum dan Unit Kebudayaan dan Warisan serta dibantu oleh seorang Pembantu Operasi iaitu Noorlina Binti Sayed Sultan.

Maklumat lanjut berkenaan JSKK PSP boleh layari https://www.facebook.com/JSKKPSP.

 

VISI

  • Melahirkan graduan yang seimbang berkeperibadian unggul, intelek, berdisiplin dan bersahsiah tinggi melalui aktiviti Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan.

MISI

  • Pembudayaan dan pembangunan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan dalam kalangan komuniti Politeknik Seberang Perai.
  • Perkembangan bakat secara berterusan untuk mencapai tahap pencapaian yang lebih cemerlang dan unggul.
  • Menyediakan kemudahan dan fasiliti Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan yang mencukupi, selesa dan selamat.
  • Memupuk hubungan yang sihat serta interaksi baik antara pelajar dan kakitangan melalui aktiviti Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan.

 

UNIT SUKAN

Unit Sukan diterajui oleh 2 orang Pegawai iaitu Encik Abdul Majid bin Udin, Ketua Kursus dan Puan Mazlina Binti Maming, Pegawai Belia dan Sukan.

Unit ini, merangkumi 3 bahagian iaitu Penyediaan & Pembangunan Atlet, Kemudahan & Peralatan serta Pembangunan Jurulatih dan Pegawai.

Peranan Unit Sukan juga adalah merancang, menguruskan dan melaksanakan aktiviti-aktiviti pembangunan sukan kepada warga PSP bagi memastikan keseimbangan kecemerlangan pelajar serta pegawai PSP dari segi intelek, jasmani dan pembangunan sahsiah diri, bakat serta membudayakan gaya hidup sihat di kalangan warganya.

Tadbir urus tempahan fasiliti, simpanan dan pinjaman peralatan sukan juga dibawah tanggungjawab Unit Sukan bagi memastikan pelajar mahupun pegawai mempunyai peralatan sukan, peluang melibatkan diri mengembangkan minat, bakat, kemahiran dan keupayaan dengan aktiviti-aktiviti sukan.

 

UNIT KOKURIKULUM

Unit Kokurikulum diterajui oleh Ketua Kursus Kokurikulum, iaitu Encik Mohd Kamal Bin Mat Desa bertanggungjawab memastikan semua program kokurikulum dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

Secara umumnya, kokurikulum merupakan satu kursus wajib bagi semua pelajar semester satu dan dua dengan nilai 1 jam kredit bagi semester 1 dan 1 jam kredit bagi semester dua.

Terdapat dua pilihan laluan yang perlu dipilih oleh pelajar samada Laluan 1 (Sukan dan Kelab) dan Laluan 2 (Unit Beruniform).

Modul-modul ini mendedahkan para pelajar kepada pelbagai aspek kemahiran asas individu dan kumpulan.

Penilaian secara berterusan terhadap pelajar dibuat dalam bentuk amali dan teori menepati kehendak silibus yang terkini.

 

UNIT KEBUDAYAAN DAN WARISAN

Unit Kebudayaan dan Warisan diterajui oleh seorang Ketua Unit Kebudayaan iaitu Puan Fazilatul Haida Binti Hidzir.

Di bawah unit ini terdapat beberapa kelab kebudayaan antaranya Kelab Kompang, Kelab Dikir Barat, Kelab Tari Tradisional, Kelab Teater, Kelab Kolattam dan Kelab Kugiran.

Penglibatan pelajar di bawah unit ini amat aktif dan banyak pencapaian yang amat membanggakan PSP telah berjaya diraih sepanjang Unit Kebudayaan dan Warisan ditubuhkan.

Unit Kebudayaan dan Warisan juga sangat aktif dalam membantu pemeliharaan dan pemuliharaan budaya dan warisan negara. Ini dapat dilihat di dalam program dwi tahunan iaitu penganjuran Simposium Warisan Bangsa yang merupakan program esklusif PSP.

Penyebaran ilmu budaya dan warisan diperkukuhkan lagi dengan kolaborasi bersama NGO iaitu Persatuan Seni dan Budaya Warisan Melayu Jawi (Waris Alam). Politeknik Seberang Perai telah menandatangani COC bersama Waris Alam untuk membantu Unit Kebudayaan dan Warisan PSP dalam memartabatkan kembali budaya dan warisan di kalangan generasi muda amnya dan kepada pelajar PSP khususnya.

Unit Peperiksaan

Unit Peperiksaan merupakan sebuah Unit Sokongan Akademik yang bernaung dan bertanggungjawab di bawah pengurusan Timbalan Pengarah Akademik dan Pengarah Politeknik.Bagi sesebuah politeknik, Unit Peperiksaan adalah unit yang dipertanggungjawabkan untuk merancang, mengurus dan melaksanakan segala aktiviti yang berkaitan dengan penyelarasan dan mengendalikan segala urusan yang berkaitan dengan aktiviti-aktiviti peperiksaan dan persijilan serta penilaian pelajar berpandukan kepada garis panduan dan peraturan penilaian yang telah ditetapkan.Unit ini diamanahkan untuk memastikan segala aspek berkaitan dengan memberi panduan mengenai pembelajaran, penilaian, pengawalan dan perjalanan peperiksaan terutamanya kepada pelajar. Selain dari fungsi utamanya mengeluarkan keputusan penilaian kepada pelajar hasil dari keputusan Jawatankuasa Peperiksaan Politeknik .

Selain dari itu unit ini juga bertanggungjawab mengeluarkan Sijil kepada pelajar yang telah tamat dan pelajar yang telah lulus semua peperiksaan serta memenuhi semua kehendak kursus setelah mendapat kelulusan dari Lembaga Penganugerahan Sijil /Diploma Politeknik Kementerian Pelajaran Malaysia. Unit Peperiksaan diketuai oleh seorang Ketua Unit dan 2 orang Pegawai Peperiksaan yang dilantik oleh Jabatan Pendidikan Politeknik, dan dibantu oleh beberapa Penyelaras Peperiksaan Jabatan yang dilantik dari setiap dari Jabatan Akademik . Ianya turut juga mempunyai seorang Pegawai Eksekutif, Pembantu Am Pejabat dan seorang Pembantu Tadbir yang membantu dalam kerja kerja pengkeranian di unit. Segala urusan yang berkaitan dengan penilaian dan juga peperiksaan pelajar diselaraskan oleh unit ini.

 

JAWATANKUASA PEPERIKSAAN POLITEKNIK

Jawatankuasa Peperiksaan Politeknik adalah perigkat tertinggi di peringkat politeknik yang telah diberi kuasa oleh Lembaga Peperiksaan dan Penganugerahan Sijil / Diploma Politeknik Kementerian Pelajaran Malaysia. Fungsi Jawatankuasa ini adalah untuk mengesahkan keputusan peperiksaan (kecuali bagi semester akhir) dan memastikan garis panduan dan peraturan penilaian dipatuhi. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Pengarah Politeknik dan dianggotai oleh Ketua-Ketua Jabatan Akademik, Pegawai Peperiksaan serta pegawai-pegawai yang dilantik oleh Pengarah.

 

OBJEKTIF 

Menjadi Unit yang mendapat menyediakan perkhidmatan keada pelangan dengan:

1. Mengamalkan etika dan peraturan kerja yang baik

2. Mudah capaian

3. Selamat & boleh dipercayai

4. Penyimpanan maklumat proses penilaian dan peperiksaan pelajar

5. Memastikan ciri ciri keselamatan urusan peperiksaan

6. Menguruskan hal hal mengenai penganugerahan

 

MAKLUMAT AM

Permohonan Pindahan kredit IPTA/IPTS

Pemohon perlu memohon dari Bahagian Instruksional dan Pembelajaran Digital (BIPD) di JPPKK.

Pemohon perlu mengemukakan maklumat berikut :

1. Surat rasmi permohonan kurikulum bagi tujuan pindahan kredit (sila sertakan nama penuh, nombor matrik, alamat terkini, no telefon dan emel)

2. Transkrip Akademik diploma/sijil yang telah disahkan;

3. Kod dan nama kursus yang dipohon untuk tujuan proses pengeluaran kurikulum berkaitan;

4. Surat tawaran kemasukan ke IPTA/IPTS atau mana-mana institusi berkaitan.

 

Pemohon boleh menghantar permohonan yang lengkap berdasarkan maklumat yang disenaraikan sama ada secara bertulis atau ke alamat emel yang diberikan.Permohonan secara bertulis hendaklah dimasukkan kedalam sampul surat dengan menulis “PERMOHONAN PINDAHAN KREDIT” dipenjuru sebelah kiri sampul dan hendaklah dialamatkan kepada:


Pengarah
Bahagian Instruksional dan Pembelajaran Digital,
Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti,
Galeria PjH, Aras 6, Jalan P4W,
Persiaran Perdana, Presint 4,
62100, Putrajaya.

 

Manakala bagi permohonan melalui emel, dokumen dengan maklumat yang lengkap boleh diemelkan ke alamat : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.Semua permohonan yang lengkap diterima akan diproses dalam tempoh 5 hari bekerja dan maklumbalas akan diberikan melalui alamat email yang disertakan seperti di dalam surat permohonan.

 

Unit Perhubungan dan Latihan Industri

 PENGENALAN

LATIHAN INDUSTRI (LI) adalah satu syarat wajib bagi pelajar dalam program-program tertentu di semua peringkat pengajian tinggi di Institut Pengajian Tinggi (IPT). Bagi meningkatkan tahap mampu kerja para graduan, program LI diperkenalkan untuk memperkasa kompetensi yang diperlukan. Kursus LI memberi pelajar peluang pembelajaran di dunia pekerjaan untuk menerima pengalaman praktikal supaya dapat mempertingkatkan kebolehpasarannya. Kursus ini memberi pendedahan dan pengalaman kepada pelajar dari segi perkembangan teknologi, komunikasi yang berkesan, amalan kerja berpasukan, polisi-polisi, prosedur dan peraturan-peraturan, perspektif professional dan pelaporan. 

Kursus ini akan membina semangat dan sikap yang proaktif dalam kalangan pelajar dan seterusnya meningkatkan keyakinan mereka untuk menjadi pelatih yang cemerlang.

 OBJEKTIF

  • Mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan di tempat kerja.
  • Berkomunikasi secara berkesan dengan pelbagai peringkat.
  • Mengamalkan kerja berpasukan.
  • Profesional dan beretika dalam mematuhi dasar-dasar, prosedur dan kaedah-kaedah di dalam organisasi
  • Menerangkan tugas-tugas yang diberikan (semasa LI) mengikut format yang ditetapkan dalam bentu laporan. 

Unit Latihan & Pendidikan Lanjutan

PENGENALAN

Sesebuah organisasi itu boleh cemerlang dan berjaya dengan jayanya apabila organisasi tersebut terdiri daripada kakitangan yang berdedikasi dan cekap dalam melakukan tugas-tugas mereka. Pekerja yang cemerlang adalah salah satu aset yang berharga bagi mencapai visi, misi dan matlamat organisasi tersebut.

Justeru itu, Unit Latihan Dan Pendidikan Lanjutan (ULPL) ditubuhkan untuk merancang, menganjur dan melaksanakan pelbagai latihan kepada kakitangan politeknik.Latihan yang dirancang bukan hanya memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran sahaja, malah latihan-latihan yang berbentuk peningkatan kendiri seperti kepimpinan, integriti, komunikasi dan kemahiran turut dirangkakan setiap tahun.

Teknologi pada masa kini berubah dengan pantas. Secara tidak langsung, dengan adanya ULPL, kakitangan Politeknik Seberang Perai dapat belajar dan meningkatkan kemahiran serta pengetahuan dalam bidang yang spesifik seiring dengan perubahan semasa. Latihan-latihan yang diberikan juga dapat meningkatkan daya saing antara mereka bagi melahirkan kakitangan yang professional, bertanggungjawab dan kompete.

OBJEKTIF

  • Menyelaras dan melaksanakan latihan / kursus / bengkel bagi memenuhi keperluan kompetensi semua kakitangan politeknik samada secara dalaman, luaran, formal dan tidak formal.
  • Menyelaras kursus pendek, kursus terlanggan dan Kursus Secara Sambilan (KSS) di bawah Program Penswastaan Masa (Time Sector Privatisation-TSP).
  • Menguruskan penempatan pegawai di industri di bawah program Sangkutan Industri Pensyarah.
  • Menguruskan pentadbiran dan urusan penginapan di Mutiara Inn.
  • Menguruskan sewaan fasiliti Politeknik Seberang Perai.